Cerita Ku


25 Julai 2012

Hari ini baru terbuka hati ku untuk meluahkan perasaan yang sudah sebulan ku pendam bagaikan  kawah gunung berapi yang menggelegak untuk memuntahkan larvanya.

Ramadhan telah masuk hari ke 6.  Ini bermakna sudah 4 bulan aku sekeluarga berada di rumah sewa. Teratak ku sedang diubahsuai awal bulan April lalu.  Em... sepanjang berada di rumah sewa, banyak perkara yang tidak menyenangkan berlaku.  Udara sekitarnya tidak menyamankan.  Bunyi bising daripada "kutu-kutu rayap", local Pak Hitam yang melepak sampai ke pagi di blok sebelah. Motor suamiku hilang nombor pendaftarannya.  Motor anak lelaki ku pula tercabut skrew eksosnya hingga mengendalakan beliau hendak ke kampusnya di Puncak Alam dan macam-macam lagi.  Aku dan suami ku tetap bersabar walaupun anak-anak ku mula merungut dengan situasi tersebut.  Aku pilih tempat itu kerana ianya dekat dengan Teratak ku yang sedang diubahsuai itu.  Sekiranya berjalan kaki, tak sampai 5 minit dah sampai.  Ini membolehkan aku dan suami ku dapat menyaksikan progres pembinaannya.  Maklum sahajalah, Aidil Fitri semakin hampir dan aku sekeluarga berharap akan dapat mendiami kembali Teratak tersebut sebelum menjelang Hari Raya.



Tanggal 23 Jun 2012 (Sabtu) tahap menguji kesabaran ku sekeluarga.  Kisahnya begini.....  Pada hari tersebut, masuk sahaja waktu Maghrib kira-kira pada jam 7.30 malam, aku, suami, anak sulungku dan anak bungsuku solat berjemaah kecuali anak lelaki ku bersolat di surau.        
Selesaikan menunaikan solat, kami sekeluarga duduk sebentar di mana suamiku menyampaikan tazkirah ringkas.  Tiba-tiba.... aku terdengar alarm kereta berbunyi 3 kali dan diikuti dengan dentuman kecil.  Aku terus berkata kepada anak bungsuku "adik! bunyi kereta mak tu.. cepat tengok".  Anak sulungku mencelah "mungkin kereta orang lain tu mak!".  Tapi hatiku tetap berkata bahawa bunyi alarm tu datangnya dari keretaku yang ku parking betul-betul di sebelah bawah tingkap bilik rumah sewa ku (aku tinggal di tingkat 2 bangunan tersebut).   Aku pasti kerana bunyinya begitu dekat sekali.  Aku terus menggesa anak bungsuku bergegas ke tingkap, khuatir bunyi dentuman itu mungkin keretaku telah dilanggar atau digesel oleh kereta lain yang melalui lorong tersebut. 
      Lemah lututku dan gementar badanku apabila anak bungsuku berkata "mak! kereta mak tak de" dan dalam masa yang sama, "mak! kereta mak dibawak orang".  Ha! "Jerit dik" dengan spontan aku berkata tetapi anak ku tergamam.  Tiada perkataan yang dapat diungkapkan.  Aku hanya sempat berkata "ooooi....."  dalam jatuh-bangun ku menuju ke tingkap.   Namun tiada seorang pun yang mendengar teriakan ku itu.   Em....... tak sampai 3 minit.... keretaku lesap.  "Celaka punya pencuri, mampus hendaknya engkau".

Maaf sampai di sini dulu....


30 Julai 2012

Dalam pada itu, aku tak panik.  Aku minta suamiku menghubungi talian kecemasan 999.  Panggilan kami tidak dijawab.  Suamiku tak sabar menunggu, lalu memberikan telefon tersebut kepada aku dan beliau bersama anak bungsuku bergegas turun ke bawah untuk mendapatkan bantuan.
      Lebih kurang 5 minit kemudian barulah panggilan aku dijawab oleh talian kecemasan.  Setelah petugas talian tersebut mencatat alamat rumah dan nombor telefonku barulah aku disambungkan ke Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur dan menceritakan hal yang berlaku.  Aku dinasihatkan supaya pergi ke Ibu Pejabat Polis yang berdekatan untuk membuat aduan.
      Suami dan anakku yang turun meninjau dan menyusuri laluan kereta itu dilarikan telah kembali ke rumah. Menurutnya, beliau berdua telah berlegar-legar di sekitar taman yang berdekatan yang difikirkan pasti menjadi laluan "PENCURI" laknat itu.  Namun, tiada klu atau maklumat yang diperolehi kerana tiada orang pada masa itu.  Aku pun faham, ketika itu waktu Maghrib.  Orang Islam pastilah menunaikan Solat Maghrib.  Bagi yang bukan Islam?  Tak tahulah ye!  Bagaikan macam ada konspirasi.  Sedangkan sebelum kejadian berlaku, ada sahaja "kutu-kutu rayap" yang melepak di situ.
      Jam 8.00 malam aku dan suamiku menaiki motor menuju ke Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kajang yang kira-kira 5 kilometer dari rumahku untuk membuat aduan.  Dalam hati ku berkata, mungkin dah ada sekatan jalanraya dibuat berikutan laporan aku itu sebab....... semasa aku disambungkan dengan Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur, petugas berkenaan berkata "Kita akan buat siaran dan rondaan berikutan laporan puan ini".  Em..... hampas! sepanjang perjalanan ku pergi dan balik dari IPD Kajang, satu kereta/ motosikal peronda pun tak ku temui.  Sudahlah menunggu lama untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat hingga melangkaui jam 12.00 malam, bila dah jumpa, jawapan yang diberikan kurang memberangsangkan.  Katanya, kejadian seperti ini seringkali dilaporkan dan selalunya kereta yang hilang sukar ditemui semula.  
      Aku rasa terkilan betul, jika "mereka" benar-benar efisyen dan bertindak segera, pasti kereta itu dapat semula.  Kenapa aku kata begitu?  Sebab..... kereta tu baru sahaja dicuri di mana anak ku nampak kereta itu dilarikan.  Aku bertindak segera ..... terus menghubungi talian kecemasan dan membuat aduan.   Lagipun kereta itu bukannya hilang tanpa disedari atau pun..... keesokan harinya didapati hilang.  Sah-sah depan mata anak ku sendiri dalam cuaca yang masih cerah, kira-kira jam 7.45 petang.   Astaqfirullah al'azim, astaqfirullah al'azim!  Em.... ape nak dikata, mungkin aku bukannya sesiapa dalam organisasi atau "somebody",  maka aduan ku itu kurang dipedulikan.

bersambung lagi ....

14 Ogos 2012

      Salam semua.  Hampir 1/2 bulan aku menyepi (sibuk).  Sekarang aku sambung cerita ini.  Sementara aku dan dan suami ku ke IPD Kajang, anak sulungku menyebarkan kecurian kereta ku itu di Face Book.  Ape lagi ... panggilan demi panggilan aku terima terutama sekali dari kaum keluarga kami.  Pelbagai pertanyaan yang perlu ku jawab ekoran dari kehilangan kereta tersebut.  Ku layan aje... pertanyaan-pertanyaan mereka dan nasihat-nasihat yang diberikan.  Aku bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan mereka walaupun mereka tidak dapat datang menjengok ku sekeluarga, tetapi telah memberi kata-kata semangat supaya aku redha apa yang telah berlaku.  Aku pun faham, kalau mereka datang pun apa yang boleh mereka buat.  
Nak di cari.... ke mana? Hari dah lewat malam dan subuh pula hampir menjelang. Lagi pun bulan puasa, semua orang keletihan dan mempunyai urusan masing-masing.  Yang paling penting aku tidak mahu membahayakan keluarga ku.  Manalah tahu.... silap-silap gaya kita pula yang di ambusssh oleh pencuri laknat tu.
   Keluarga tetap keluarga.  Dari rasa simpati mereka, ada yang menawarkan kenderaannya kepada ku untuk dipakai sementara waktu.  Tetapi tawaran mereka itu ku tolak, sebab aku masih fobia dengan ape yang berlaku.  Hati ku berkata bahawa sekitar rumah sewaan ku itu sudah tidak selamat.  Nanti hilang pula kita orang, lagi menyusahkan. 
       Hari Isninnya tanggal 25 Jun 2012 aku tidak ke pejabat kerana tiada kenderaan sebab motor suami ku masuk bengkel.  Motor itu sudah menjangkau usia 21 tahun dan perlu di service dan di repair mana yang perlu sebelum ianya boleh membawa ku pergi dan balik dari pejabat.  Ape nak buat kerana kami tiada kenderaan lain.
        Setelah seminggu kejadian, aku pun menghubungi pihak Takaful Ikhlas iaitu syarikat tempat keretaku diinsurankan.  Aku pun menceritakan bagaimana kecurian itu berlaku.  Aku diminta mengisi Borang Khas yang boleh diperolehi dari website Takaful Ikhlas dan menghantar laporan dengan kadar segera.  
      Hari berganti hari, minggu berganti minggu.  Makin sakit pinggangku dek terhentak-hentak di atas motor.  Dah lama aku tidak naiki motor bagi perjalanan yang jauh seperti ke tempat kerja iaitu semenjak tahun 2001 apabila aku mula memandu ke tempat kerja.  Sekali-sekala tu adalah, tetapi bukanlah setiap hari.  Yang paling kasihan kepada suami ku tercinta.  Selama 6 minggu lebih, beliau terpaksa menjadi pemandu kepada kami tiga beranak (panggilan manja motornya .... teksi motor).  Seawal pagi iaitu kira-kira jam 6.30 beliau mula menghantar anak bongsuku ke SMK SAAS Kajang.  Kemudian kembali mengambil anak sulungku dan menghantar ke stesyen komuter Kajang untuk ke tempat kerjanya di KL.  Kira-kira jam 7.30 pagi barulah beliau menghantar aku ke PUTRAJAYA.  Begitu-begini, lebih kurang jam 9.00 pagi barulah beliau sampai ke rumah semula.  Itu pun bukannya boleh berehat lama.  Beliau perlu stand-by di teratak ku yang sedang diubahsuai itu membawa ke petang hari.


flowers blooming
Pada sebelah petang, dua trips perjalanan yang perlu dilakukan-nya. Jam 4.30 petang beliau menjemput anak sulungku di stesyen komuter.  Selepas itu barulah beliau datang mengambil ku pula.  Oh, bayangkan betapa letih dan lesunya beliau ketika itu apatah lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.  Betul-betul menguji minda dan kesabarannya.  

Aku bekerja di Perbendaharaan Malaysia.  Pada kebiasaannya sebelum kami beredar meninggalkan bangunan Perbendaharaan, beliau mengambil masa 10 hingga ke 15 minit untuk berehat di bawah pohon-pohon rendang di perkarangan Perbendaharaan yang disediakan bangku di bawahnya.  Ketika ini pohon-pohon tersebut sedang berbunga.  Ada yang berwarna kuning, putih, pink dan tak kurang pula ada yang mengeluarkan bau harum.  Bila di tiup angin.... berguguranlah kelopak-kelopak kecil dari bebungaan tersebut jatuh ke bumi, ada juga sekeping dua jatuh menimpa kami.  Burung-burung kecil seperti Kelicap, Tiong dan dua tiga spesis lain yang tidak ku kenali tidak ketinggalan menghiasi suasana harmoni sambil melompat ke sana ke mari, melewati dari satu dahan ke satu dahan yang lain sambil berkicau-kicau memanggil antara satu sama lain.  Seolah-olah mereka mengundang aku dan suami ku sama-sama menikmati suasana harmoni itu.  Wau!!! indahnya panorama ciptaan Tuhan ini, ditambah pula oleh tiupan  angin sepoi-sepoi bahasa.  Nyaman..., segar.... dan mempersonakan.  Bagaikan satu terapi kepada jasad dan minda kepada kami berdua, sungguh mententeramkan......  Kalau diikutkan hati mahu rasanya kami melelapkan mata buat seketika.  Di situlah suamiku melepaskan segala penat dan lelahnya sebelum meneruskan perjalanan ke rumah dan aku juga menumpang sekaki. Terima kasih hubby selama 6 minggu kau setia dengan tugas mu itu.  Segala jasa, budi-baik dan pengorbananmu akan ku kenang hingga ke akhir hayatku.


    Tanggal 6 Ogos 2012 (17 Ramadhan) kesengsaraan suamiku mula berakhir di mana atas rahmat dan nikmatNya jua, tiba-tiba anak saudara ku, Zuraidah ingin meminjamkan Van Vannetenya untuk kegunaan kami sekeluarga.  "Alhamdulillah, syukur!"  Katanya Van tersebut jarang dipandu kerana beliau mempunyai sebuah kenderaan lain.  Menurutnya, sebulan sekali Van perlu dihantar ke bengkel untuk di service demi memelihara enjin supaya berkeadaan baik.  Rasa membazir pula katanya sebab Van tidak digunakan.
     Pada mulanya aku agak keberatan kerana aku tidak pernah memandu Van dan suamiku pula sudah lama tidak memandu kenderaan beroda empat seperti itu.  Dalam hati ku berkata, "siape nak bawa Van nie ye!".  Setelah berfikir berkali-kali mungkin ini satu rahmat daripadaNya jua, aku bersetuju. Petang itu tanggal  6 Ogos 2012 (hari Nuzul Al-Quran) Zuraidah, suami dan anak-anaknya menghantar Van itu ke rumah ku.  Sayang sekali hasrat kami hendak berbuka puasa bersama beliau sekeluarga tidak kesampaian kerana suaminya ada urusan lain, khuatir tidak sempat sampai ke Banting sebelum jam 9.00 malam.  Walau apa pun aku bersyukur.  Suami ku tidak perlu lagi bersusah payah untuk menghantar kami bertiga ke destinasi masing-masing.  Dapatlah beliau berehat di rumah lama sedikit dan motorsikalnya pun tidak perlu kerap dihantar ke bengkel.  Maklum sahajalah motosikal lama, enjinnya sudah tidak sehebat yang baru.  Dari tarikh tersebut, bermulalah aku sebagai pemandu Van dan inilah kenderaan ku ke tempat kerja.

berhenti di sini dulu .... nanti ku sambung lagi
      
   

    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklumbalas.